Hubungan luar negeri dan ketenteraan Korea_Selatan

Hubungan luar

Batu Liancourt (Dokdo) menjadi titik pertikaian wilayah hebat antara Korea Selatan dan Jepun.

Korea Selatan menjalin hubungan diplomasi dengan lebih 188 negara. Negara ini juga menganggotai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 1991, pada masa yang sama dengan Korea Utara. Pada 1 Januari 2007, Menteri Luar Korea Selatan, Ban Ki-moon menyandang jawatan Setiausaha Agung PBB. Ia juga mengembangkan hubungan dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara sebagai anggota badan pemerhati ASEAN tambah 3, dan Sidang Kemuncak Asia Timur.Kedua-dua Korea Utara dan Selatan terus menuntut kedaulatan ke atas seluruh semenanjung dan pulau-pulau berhampiran. Walaupun Kedua-dua Korea masih sebenarnya berperang (kerana tidak pernah menandatangani perjanjian damai selepas Perang Korea) dan berkongsi sempadan yang paling kuat dikubui di dunia.[10] Sungguhpun terdapat usaha yang dilakukan untuk mengeratkan hubungan antara Korea Utara dan Selatan, misalnya dengan Dasar Sinaran Matahari oleh Presiden Korea Selatan, Kim Dae-jung pada 1990-an, hubungan sesama Korea ini masih meruncing ekoran pertembungan ganas antara tentera kedua-dua pihak akhir-akhir ini.

Korea menjalin hubungan masam manis yang erat sekali dengan negara-negara jirannya, China dan Jepun. Pengaruh kebudayaan Cina nyata meninggalkan kesan dalam sejarah dan budaya Korea, misalnya penggunaan tulisan Cina dan amalan ajaran Confucius yang pernah membentuk sistem politik Korea pada zaman silam.[23] Apabila Korea berpecah menjadi dua pada tahun 1945, kedua-dua pecahan itu mulai menjalin hubungan dengan paksi China yang sama fahaman dengannya, iaitu Korea Utara yang komunis dengan Republik Rakyat China dan Korea Selatan dengan Republik China. Bagaimanapun, Korea Selatan memutuskan hubungan dengan Republik China (Taiwan) untuk beralih ke Republik Rakyat China pada tahun 1992.[24]

Korea Selatan dan Jepun hanya menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1965, selepas zaman pemerintahan Jepun di Korea berakhir pada tahun 1945. Sentimen anti-Jepun di Korea Selatan masih ketara disebabkan beberapa pertikaian yang belum dileraikan, kebanyakannya datang dari zaman penjajahan Jepun yang bermula pada tahun 1910, seperti tuntuan ganti rugi oleh kaum wanita Korea yang dijadikan hamba seks oleh tentera Jepun[25][26], serta perebutan wilayah pulau-pulau kecil di laut di antara Korea dan Jepun, terutamanya Dokdo (atau Takeshima). Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Selatan bermula pada 23 Februari 1960.[27]

Ketenteraan

Setelah mengharungi serangan oleh negara jiran sepanjang sejarah, serta ketegangan yang belum lerai dengan Korea Utara, Korea Selatan terpaksa memperuntukkan 2.6% KDNK-nya dan 15% jumlah perbelanjaan kerajaan kepada tenteranya (Kongsian KDNK kerajaan: 14.967%), sambil menguatkuasakan sistem pengerahan wajib untuk kaum lelaki.[28] Oleh itu, Korea Selatan mempunyai jumlah tentera aktif keenam teramai,[29]tentera simpanan kedua terbesar[29] dan perbelanjaan ketenteraan ke-11 terbesar di dunia. Republik Korea, dengan angkatan tentera seramai 3.7 juta orang kakitangan tetap di kalangan sejumlah 50 jutapenduduk negara, Republik Korea mempunyai bilangan askar per kapita yang kedua teramai di dunia,[29] mengekori jirannya, Republik Rakyat Demokratik Korea.[30]

ROKN Sejongdaewang (DDG 991), kapal pembinasa peluru berpandu Sejongdaewang

Tentera Korea Selatan terdiri daripada Tentera Darat (ROKA),Tentera Laut (ROKN), the Tentera Udara (ROKAF), dan Tentera Marin (ROKMC), serta angkatan simpanan.[31] Kebanyakan tentera ini tertumpu dekat Zon Bebas Tentera Korea. Semua warganegara lelaki Korea Selatan diwajibkan oleh perlembagaan untuk berkhidmat dalam tentera, lazimnya selama dua tahun.

Selain pengerahan lelaki dalam tentera Korea Selatan, seribu orang lelaki Korea Selatan dipilih setiap tahun untuk berkhidmat dalam Program KATUSA selama dua tahun untuk melengkapi Tentera Amerika Syarikat di Korea.[32] Pada tahun 2010, Korea Selatan membelanjakan ₩1.68 trilion dalam perjanjian berkongsi kos dengan AS untuk menyediakan sokongan kewangan kepada tentera AS di Korea, di samping ₩29.6 trilion untuk tenteranya sendiri.

Pesawat pejuang F-15K "Slam Eagle"

Dari masa ke semasa, Korea Selatan telah menghantar tenteranya ke luar negara untuk membantu tentera Amerika Syarikat. Ia telah mengambil bahagian dalam kebanyakan pertempuran utama yang turut melibatkan AS sejak Perang Korea. Korea Selatan menghantar 325,517 orang askar untuk berjuang di samping tentera AS, Australia, Filipina, New Zealand dan Vietnam Selatan dalam Vietnam War, dengan kekuatan kemuncak seramai 50,000 orang. Pada tahun 2004, Korea Selatan menghantar 3,300 askar Divisi Zaytun untuk membantu usaha pembinaan semula di Iraq utara, dan merupakan penyumbang ketiga terbesar dalam tentera campuran selepas AS dan United Kingdom sahaja.[33] Sejak tahun 2001, Korea Selatan setakat ini menghantar 24,000 askar di kawasan Timur Tengah untuk menyokong Perang Terhadap Keganasan.

AS telah menempatkan sebuah kontinjen askar yang ramai di Korea Selatan sejak Perang Korea, untuk mempertahankan Korea Selatan sekiranya berlaku krisis ketenteraan di Asia Timur. Terdapat kira-kira 28,500 orang kakitangan Tentera AS yang ditempatkan di Korea,[34] kebanyakannya berkhidmat dalam tugasan berasingan selama setahun. Tentera AS yang terutamanya ditugaskan ke Tentera Amerika Syarikat Kelapan ditempatkan di pangkalan-pangkalan di Osan, Yongsan, Dongducheon,Sungbuk, and Daegu. Pusat Kawalan PBB yang masih berfungsi merupakan peringkat tertinggi sebenar rantaian perintah semua tentera di Korea Selatan, baik tentera AS yang bertempat di sini mahupun seluruh tentera Korea Selatan – jika perang berlaku tiba-tiba antara Korea Utara dan Selatan, Amerika Syarikat akan mengambil alih kawalan semua anggota tentera dan separa tentera Korea Selatan. Bagaimanapun, pada September 2006, kedua-dua Presiden AS dan Republik Korea bersetuju bahawa Korea Selatan menjadi pemimpin pertahanan dirinya. Pada awal tahun 2007, Setiausaha Pertahan AS dan Menteri Pertahanan Negara RK menetapkan bahawa Korea Selatan mengambil alih kawalan operasi terhadap semua tenteranya ketika berperang mulai 17 April 2012. Tentera AS di Korea akan bertukar menjadi sebuah pusat kawalan tempur perang bersama dengan gelaran sementara Korea Command (KORCOM).[35]